Friday 9 December 2011

NILAI-NILAI POSITIF DARI PERGERAKAN LOKOMOTOR DAN BUKAN LOKOMOTOR

Pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran pergerakan asas iaitu pergerakan lokomotor dan bukan lokomotor. Dalam aktiviti pergerakan lokomotor dan bukan lokomotor mempunyai kebaikan dan nilai-nilai positif akan dapat dipupuk dalam diri kanak-kanak tersebut sama ada yang melibatkan aktiviti berkumpulan, kelas mahupun individu boleh digunakan dalam melaksanakan sebarang aktiviti. Pendidikan pergerakan asas lokomotor dan bukan lokomotor bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan malah ia juga dapat menerapkan nilai-nilai positif dalam diri kanak-kanak. Antara nilai-nilai positif yang boleh diperoleh dari aktiviti lokomotor dan bukan lokomotor ialah kerjasama, disiplin, berani, semangat berpasukan, bantu-membantu, gembira dan banyak lagi.

8.1 Kerjasama
Menurut Kamus Pelajar kerjasama bermaksud kerja yang dibuat bersama-sama dan dengan tolong-menolong atau gotong-royong. Selain itu, ia juga boleh didefinisikan sebagai kerja atau usaha dan sebagainya dengan bersama-sama atau saling membantu antara dua atau beberapa pihak, atau sumbangan pelbagai rupa yang bersifat bantuan tenaga, sokongan, persefahaman, dan lain-lain lagi dari satu pihak kepada pihak yang lain untuk faedah bersama (Kamus Dewan Edisi 3). Pergerakan asas lokomotor dan bukan lokomotor merupakan satu cara yang boleh digunakan untuk menerapkan nilai kerjasama dalam kalangan murid-murid. Ini kerana pendidikan pergerakan asas boleh dijalankan secara berkumpulan serta berpasangan. Murid-murid akan membuat satu-satu aktiviti itu dengan saling bekerjasama antara satu sama lain untuk memenangi permainan dan aktiviti tersebut. Maka dari situ secara tidak langsung kerjasama antara murid dapat ditingkatkan dan sekali gus mengeratkan hubungan antara mereka.


8.2 Keberanian

 



Merujuk kepada Tesaurus Bahasa Melayu Dewan (1998), keberanian bermaksud kegagahan, keperkasaan, ketabahan, kepahlawanan, keteguhan, keperwiraan, kelaki-lakian dan kejantanan. Manakala menurut Kamus Pelajar pula keberanian bermakna mempunyai sifat-sifat berani. Nilai keberanian sememangnya dapat diterapkan dalam aktiviti pergerakan asas iaitu apabila murid-murid diberi peluang untuk mencuba melakukan pelbagai aktiviti dan seterusnya dapat mencungkil kebolehan yang ada pada diri masing-masing. Contohnya ialah melalui aktiviti lokomotor seperti melompat dari satu tempat yang tinggi. Murid-murid yang mempunyai sikap berani dalam diri mereka akan cuba untuk melakukan lompatan tersebut dan begitu pula sebaliknya.




8.3 Semangat Berpasukan

 Semangat berpasukan boleh ditakrifkan sebagai kemahuan untuk melakukan sesuatu secara berkumpulan (Kamus Dewan Edisi 3). Dalam pendidikan pergerakan asas, semangat berpasukan juga dapat dipupuk di kalangan murid-murid. Semangat bantu-membantu dan tolong menolong dapat disemai dalam kerja yang dihasilkan. Semangat berpasukan ini dapat disemai apabila murid-murid melakukan pergerakan lokomotor dan bukan lokomotor secara berkumpulan. Melalui aktiviti berkumpulan ini, secara tidak langsung murid akan menunjukkan nilai saling bantu-membantu dan semangat berpasukan antara satu sama lain.







8.4 Berdisiplin


Merujuk daripada Kamus Pelajar, berdisiplin bermaksud menurut atau mengikut tatatertib (peraturan, undang-undang dan lain-lain) atau menurut Kamus Dewan patuh (taat) pada (peraturan dan lain-lain). Dalam melaksanakan aktiviti pergerakan asas murid-murid melakukan setiap pergerakan yang dipelajari mengikut cara yang betul dan ini sekali gus mengajar mereka untuk berdisiplin. Setiap aktiviti yang dijalankan oleh guru adalah aktiviti yang mempunyai peraturan dan syarat dalam permainan. Bagi menyempurnakan dan membolehkan permainan tersebut berjalan dengan lancar seperti yang dirancang, maka murid-murid perlu mengetahui dan mengikuti peraturan dalam satu-satu aktiviti. Keadaan ini akan membuatkan murid-murid lebih berdisiplin kerana terpaksa patuh dengan peraturan permainan tersebut. Sikap berdisiplin ini secara tidak langsung akan dipupuk dalam diri murid-murid.








8.5 Gembira

 Pelbagai cara boleh dibuat dalam mempelajari sesuatu kemahiran, bukan itu sahaja malah guru juga boleh menggunakan pelbagai alatan yang sesuai dan ini sudah semestinya akan menjadikan sesuatu aktiviti yang dijalankan itu menjadi lebih menarik. Kanak-kanak khususnya merupakan individu yang gemar dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan pergerakan seluruh anggota badan, mengadakan aktiviti yang memerlukan alatan yang berwarna-warni, mengadakan aktiviti sama ada di dalam mahupun di luar kelas, bermain beramai-ramai dan guru turut serta dalam sesuatu aktiviti serta aktiviti yang melibatkan komunikasi antara satu sama lain. Mereka akan tidak bosan dan berasa gembira serta seronok dengan aktiviti yang melibatkan perkara-perkara tersebut. Oleh yang demikian, murid-murid dapat meneroka setiap kemahiran yang dilakukan dengan rasa seronok.



 


No comments:

Post a Comment